Kejohanan Badminton Pekak Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Kuantan, Pahang menyaksikan aksi kompetitif daripada barisan atlet terbaik negara dengan beberapa pemain berjaya mencuri tumpuan menerusi persembahan cemerlang dalam final masing-masing.
Tumpuan utama terarah kepada final perseorangan lelaki apabila Foo Li Shen muncul juara selepas mengetepikan cabaran wakil Johor, Tan Eng Chun menerusi kemenangan straight set 21-18, 21-17.
Li Shen nyata berada di landasan terbaik selepas menerima tonik latihan daripada jurulatih skuad badminton pekak kebangsaan, Sabrina Chong, sekali gus mempamerkan aksi penuh konsisten sepanjang perlawanan akhir tersebut.
Kejayaan itu turut diteruskan Li Shen dalam acara beregu lelaki apabila bergandingan bersama B. Vignesshwaran Balakrishnan untuk menewaskan pasangan Johor, Tan Eng Chun dan You Deng Hui dengan keputusan dominan 21-7, 21-9.
Vignesshwaran menyifatkan keserasian serta komunikasi di gelanggang menjadi faktor utama kejayaan mereka menjulang gelaran beregu lelaki.
Li Shen pula mengakui momentum kemenangan dalam perseorangan memberi suntikan semangat untuk menghadapi aksi beregu.
Dalam kategori beregu campuran, pasangan Sabah, Raisuden Kada dan Leona Simon muncul juara selepas menewaskan rakan sepasukan mereka, Farhan Azery dan Prisca Olivia Rony 21-15, 21-15.
Raisuden menyifatkan kejayaan itu hasil kerjasama baik serta disiplin sepanjang kejohanan berlangsung.
Leona Simon pula meluahkan rasa bangga dapat menyumbang kejayaan buat Sabah dalam kejohanan berprestij itu.
Sementara itu, kategori perseorangan wanita menyaksikan dominasi Thaqifah Husna yang menumpaskan wakil Pahang, Yeoh Ming Qi 21-6, 21-18.
Thaqifah mengakui keyakinan tinggi serta strategi permainan yang menjadi membantu beliau mengawal tempo perlawanan sejak set pertama.
Leona Simon sekali lagi mencipta kejayaan apabila bergandingan bersama Prisca Olivia Rony dalam acara beregu wanita untuk menewaskan pasangan Pahang, Nur Suhana dan Yeoh Ming Qi 21-19, 21-18.
Leona menyifatkan kemenangan itu sebagai hasil semangat juang tinggi selain sokongan padu rakan sepasukan.
Prisca pula menganggap kejayaan tersebut menjadi pembakar semangat untuk terus meningkatkan prestasi di pentas lebih tinggi selepas ini.
Dalam saingan remaja, kategori perseorangan lelaki menjadi milik Muhammad Rayyan Naufal dari Johor selepas menewaskan Chin Jun Jie dari Perak 21-16, 21-12.
Rayyan menyatakan kemenangan itu memberi motivasi besar untuk terus mengembangkan karier dalam sukan badminton pekak negara.
Bagaimanapun, Chin Jun Jie bangkit menebus kehampaan apabila bergandingan bersama Muhammad Syariel Rayyan untuk menjuarai acara beregu lelaki remaja selepas menewaskan Mohamad Firman Mikhail dan Muhammad Firas Nurhan dengan keputusan 21-5, 21-7.
Syariel berkata keserasian mereka menjadi kunci utama kejayaan dalam final tersebut.
Pengarah Majlis Sukan Pahang, Mahadir Abdul Raffar pula menegaskan pihaknya akan terus bergerak secara proaktif bagi menyelesaikan isu dana dan insentif melibatkan sukan orang pekak di negeri itu.
Menurut beliau, meskipun terdapat perdebatan mengenai perbezaan antara atlet pekak dan para, namun ketika ini tidak timbul isu ketidaksamarataan antara kedua-dua kelompok atlet tersebut.
Tambah beliau, penganjuran Kejohanan Badminton Pekak Kebangsaan 2026 di Kuantan menjadi antara inisiatif penting dalam usaha mengangkat martabat sukan pekak agar seiring dengan kejohanan sukan arus perdana.
Beliau ditemui ketika majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang Kejohanan Badminton Pekak Kebangsaan 2026 di Kuantan, Pahang.