Juara Sukan SEA Thailand 2025 kategori tanding kelas C puteri, Ummi Mashitah Hassan, sejurus dinaikkan pangkat sebagai atlet Program Podium pasukan silat kebangsaan tahun 2026.
Ummi Mashitah berkongsi rasa syukurnya terhadap kejayaan yang dilakar pada 2025 kerana ia sedikit sebanyak dapat membantu keluarganya di Sarawak.
Advertisement
Walaupun baru sahaja menghadapi detik cemas daripada keluarga apabila ayahnya jatuh sakit awal tahun ini, Ummi Mashitah ingin menjadikannya sebagai pembakar semangat untuk berusaha lebih lagi tahun ini demi keluarganya.
"Ketika dalam latihan, saya mendapat berita bahawa ayah tidak sedarkan diri.
"Jadi ia membuatkan saya tidak dapat fokus dalam latihan dan pada malam itu juga, saya balik ke Sarawak.
"Kemenangan Sukan SEA banyak membantu keluarga saya. Rezeki kemenangan itu saya dapat membina rumah buat ibu bapa," katanya.
Ummi juga menanam impian untuk membawa ibu bapanya menjalani ibadah umrah pada suatu hari nanti.
Bagi ummi perkara itu bakal direalisasikannya dengan prestasi dominan di dalam gelanggang.
"Banyak yang ingin saya capai pada masa akan datang.
"Saya ingin bawa ibu bapa mengerjakan umrah," katanya.