Negeri Sembilan hari ini mengumumkan kehadiran pemain kebangsaan, Akhyar Rashid, secara pinjaman daripada Terengganu bagi memperkuatkan skuad The Jang menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
"Insya-Allah, kedatangan saya ini dapat membawa suasana yang positif buat pasukan." jelas pemain sayap berusia 27 tahun itu yang telah membuat 51 penampilan bersama skuad Harimau Malaya dengan merekodkan 10 jaringan dan 11 bantuan gol.
"Bintang sensasi Harimau Malaya kini sah akan beraksi di Paroi! Pihak kelab dengan ini mengumumkan kemasukan pemain lincah, Akhyar Rashid, ke dalam keluarga besar Negeri Sembilan FC.
"Pemain berusia 27 tahun ini melengkapkan perpindahan ke Tanah Beradat secara pinjaman dari Terengganu FC.
"Menjadi ancaman utama di posisi sayap kiri, Akhyar juga memiliki kelebihan taktikal untuk beroperasi dengan sama tajam di posisi sayap kanan.
"Sepanjang kariernya, beliau telah merekodkan 51 penampilan bersama skuad kebangsaan, menyumbang 10 gol serta 11 bantuan jaringan buat Harimau Malaya!
"Kelincahan, larian deras, dan kualiti penyudah beliau pastinya akan menambah bisa jentera serangan #TheJangs musim ini." kongsi kelab.