Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufiq Johari, dalam satu sebaran media sebentar tadi, berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil maklum kedudukan terbaharu ranking yang dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), yang menyaksikan skuad bola sepak kebangsaan merosot 14 anak tangga, daripada kedudukan ke-121 kepada tempat ke-135.
Ia berikutan keputusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) membatalkan dua kemenangan Harimau Malaya dalam pusingan kelayakan Piala Asia 2027 -- ke atas Vietnam dan Nepal -- berkaitan isu pemalsuan dokumen pemain warisan.
Advertisement
"Saya turut merasai kekecewaan rakyat Malaysia, khususnya peminat bola sepak tempatan berhubung penurunan ranking ini, serta kontroversi yang melanda skuad kebangsaan sejak beberapa bulan lalu," katanya dalam kenyataan itu.
"Semua pihak harus mengambil iktibar daripada perkara ini dan pemerkasaan bola sepak tanah air perlu terus diperhebat. Saya berharap langkah-langkah wajar akan diambil agar perkara seumpama ini tidak berulang lagi di masa akan datang.
"Pembangunan bola sepak, terutama di peringkat akar umbi, perlu diteruskan dan saya menggesa semua rakyat Malaysia supaya terus memberikan sokongan kepada sukan ini.
"Di pihak KBS, kami tetap berpendirian untuk tidak campur tangan di dalam pengurusan FAM. KBS melalui MSN akan terus mengutamakan peranan memperkasa dan membangunkan bakat bola sepak tempatan menerusi Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), bersama-sama FAM selaku rakan strategik.
"Pada masa sama, KBS akan terus mengadakan sesi libat urus berkala dengan pihak FAM untuk mendapatkan maklumbalas tentang strategi mereka bagi mengelakkan kejatuhan ranking yang lebih lanjut, lebih-lebih lagi setelah perubahan dalam sistem ranking FIFA, di mana kedudukan dikemaskini secara langsung dengan setiap perlawanan antarabangsa, berbanding pengumuman mengikut tempoh tertentu sebelum ini.
"Saya juga berharap semua pihak dapat memberi ruang kepada FAM, dengan bantuan AFC, untuk mengenalpasti dan seterusnya melaksanakan reformasi dalaman yang perlu, serta mengadakan kongres bagi memilih barisan kepimpinannya yang baru.
"KBS tidak terlibat dalam proses ini, dan menerusi Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS), akan terus memantau kepatuhan pengurusan FAM terhadap peruntukan perlembagaannya serta peruntukan yang termaktub dalam Akta Pembangunan Sukan (Akta 576)."