Penganjuran HYROX Kuala Lumpur 2026 diberikan kelulusan bersyarat selepas pihak penganjur bersetuju mematuhi sepenuhnya Perkara 5.2 Kod Sukan Selamat.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari menerusi kenyataan media hari ini.
Taufiq menjelaskan kelulusan berkenaan diberikan di bawah Seksyen 33 Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576], tertakluk kepada pematuhan penuh Kod Sukan Selamat serta semua syarat lain yang ditetapkan Pejabat Pesuruhjaya Sukan.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut akan memantau pematuhan terhadap semua syarat berkenaan sepanjang penganjuran acara itu berlangsung.
KBS turut mengucapkan selamat bertanding kepada semua peserta yang bakal mengambil bahagian.
Kementerian turut berpandangan acara kecergasan massa seperti HYROX wajar diteruskan bagi menggalakkan amalan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.
Kelulusan bersyarat itu membolehkan penganjuran HYROX Kuala Lumpur 2026 diteruskan, dengan pematuhan terhadap Kod Sukan Selamat menjadi antara perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh pihak penganjur.