Kapten skuad sepak takraw negara, Farhan Adam, menzahirkan rasa syukur atas rezeki dan berterima kasih kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS), yang bersetuju menilai semulaa dan menaikkan kadar insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi acara berpasukan.
Tonggak berpengalaman itu, yang mesra disapa Emon, percaya peningkatan ganjaran berkenaan dapat menarik lebih ramai generasi muda menyertai sukan berpasukan seperti sepak takraw, hoki dan ragbi, selain menjadi pembakar semangat buat atlet untuk terus berjuang membawa nama negara.
Terdahulu, rakan sepasukan Emon, yang juga tekong nombor satu dunia, Syahir Rosdi, meluahkan kekecewaannya di media sosial apabila barisan pemain 'Golden Tigers' hanya menerima RM15,000 seorang bagi kejayaan meraih pingat emas regu berpasukan dalam Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 berbanding RM80,000 bagi pemenang emas acara individu.
"Saya sebagai wakil pemain ingin memohon maaf atas ketelanjuran yang berlaku sebelum ini," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Dengan ketelanjuran itu, ia mendapat perhatian PSM (Persekutuan Sepaktakraw Malaysia) dan Pihak KBS yang diterajui YB Taufiq (Johari).
"Tindakan yang diambil amat drastik dan cepat. Ia bukan tentang amaun, ia tentang ada perubahan kerana rata-rata pemain sudah beraksi berkali-kali dalam Sukan Asia.
"Kami amat bersyukur dengan perubahan yang dilakukan dan sudah pasti pemain juga tidak boleh terlalu dimanjakan dan perlu lebih bersemangat untuk membawa pingat buat negara."