Ketua jurulatih Senegal, Pape Thiaw, menegaskan bahawa tanggungjawab agama sentiasa mengatasi komitmen bola sepak selepas ditanya mengenai kebimbangan keselamatan susulan tiupan angin kencang yang melanda New Jersey sepanjang Piala Dunia 2026.
Dalam kenyataannya yang mendapat perhatian ramai, Thiaw berkata pemain dan pegawai pasukan tetap menunaikan solat Jumaat walaupun berdepan keadaan cuaca yang kurang baik.
“Anda takut kepada angin, tetapi kami takut kepada Allah yang menciptakan angin itu,” katanya.
Menurutnya, keimanan dan kewajipan agama tidak boleh diketepikan walau dalam apa jua keadaan, termasuk ketika pasukannya beraksi di kejohanan terbesar dunia.
Thiaw turut menegaskan bahawa skuad Senegal tetap akan meninggalkan sebarang aktiviti bola sepak untuk menunaikan solat Jumaat sekiranya waktunya tiba.
“Walaupun kami sedang bermain dalam final Piala Dunia, kami tetap akan pergi menunaikan solat Jumaat kerana waktunya telah ditetapkan.”
Dia kemudian mengajukan satu persoalan yang menggambarkan pendiriannya mengenai keutamaan agama dalam kehidupan.
“Adakah ada sesuatu yang lebih penting daripada solat?”
Kenyataan itu menerima pelbagai reaksi daripada peminat bola sepak di seluruh dunia, dengan ramai memuji keteguhan prinsip jurulatih berusia 44 tahun itu yang meletakkan kepercayaan dan tanggungjawab agama sebagai keutamaan.
Senegal, yang terkenal dengan identiti Islam yang kuat dalam kalangan pemain dan pegawai pasukan, sering memperlihatkan amalan keagamaan secara terbuka dalam kem latihan serta kejohanan antarabangsa.
Kenyataan Pape Thiaw itu sekali lagi memperlihatkan bagaimana nilai keagamaan terus menjadi sebahagian penting dalam budaya dan identiti skuad Singa Teranga, walaupun sedang bersaing di pentas terbesar bola sepak dunia.