Skip to main content

Permotoran

Kabilesh buru kekalkan momentum, sasar kutipan mata maksimum di Sepang

Kabilesh buru kekalkan momentum, sasar kutipan mata maksimum di Sepang

Pelumba RACR CASTROL POWER1, Kabilesh Rajini Krishnan, bertekad meneruskan momentum cemerlang dalam pusingan kedua Kejuaraan Superbike MAM Malaysia (MSBK) 2026 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang hujung minggu ini.

Selepas memenangi Perlumbaan 1 dan menamatkan Perlumbaan 2 di tempat kedua pada pusingan pembukaan, Kabilesh kini berkongsi kedudukan teratas carta kejuaraan dengan 45 mata sekali gus muncul antara calon utama memburu gelaran musim ini.

Lebih mengagumkan, kejayaan itu hadir meskipun pelumba muda berkenaan mengalami patah ibu jari ketika sesi latihan bebas pertama (FP1), sekali gus memaksanya berlumba dalam keadaan tidak selesa sepanjang hujung minggu.

“Saya masih belum mampu memberikan 100 peratus kerana patah ibu jari menyukarkan saya mengawal pendikit dan brek hadapan. Namun, kami masih berjaya menang Perlumbaan 1 dan meraih tempat kedua dalam Perlumbaan 2.

“Saya bangga dengan usaha seluruh pasukan. Mereka bekerja keras memastikan jentera berada dalam keadaan terbaik dan keputusan itu memberi keyakinan tinggi menjelang pusingan kedua. Dengan kecederaan yang semakin pulih, saya harap dapat berlumba pada tahap sebenar minggu ini,” katanya.

Enggan terlalu fikir pencabar

Kabilesh turut menegaskan dia tidak mahu terlalu memikirkan pencabar terdekatnya, Carlsen, walaupun kedua-duanya kini berkongsi kedudukan pendahulu kejuaraan.

Menurutnya, fokus utama adalah meningkatkan prestasi sendiri dan mengekalkan konsistensi sepanjang musim.

“Carlsen seorang pelumba yang sangat baik dan saya menghormatinya. Tetapi saya tidak mahu mengubah pendekatan kerana pencabar. Fokus saya hanyalah memberikan persembahan terbaik setiap kali turun ke litar. Jika saya konsisten, keputusan yang baik akan datang dengan sendirinya,” jelasnya.

Bangkit selepas musim sukar

Prestasi cemerlang awal musim ini menjadi kebangkitan bermakna buat Kabilesh selepas melalui musim 2025 yang cukup mencabar apabila mengalami patah tulang paha kanan sehingga gagal mengutip sebarang mata dalam dua pusingan pertama.

Menurutnya, tempoh pemulihan itu menguji kekuatan fizikal dan mental sebelum berjaya kembali bersaing di kelompok hadapan.

“Musim lalu antara detik paling sukar dalam karier saya. Kecederaan itu benar-benar menguji saya.

“Sebab itu permulaan musim ini sangat bermakna. Kembali berada di podium, memenangi perlumbaan dan memimpin carta kejuaraan menjadi bukti segala kerja keras kami sepanjang tempoh pemulihan,” katanya.

Konsistensi kunci kejuaraan

Kabilesh percaya saingan musim ini cukup sengit dengan ramai pelumba memiliki kemampuan memenangi perlumbaan, namun yakin konsistensi akan menjadi faktor penentu perebutan gelaran.

“Setiap mata sangat berharga kerana jurang antara pelumba sangat rapat. Sasaran saya ialah mengutip mata maksimum di setiap pusingan, mengelakkan kesilapan dan terus menamatkan perlumbaan di kelompok hadapan.

“Itulah yang biasanya membezakan juara apabila musim berakhir,” katanya.

Menjelang aksi di Sepang hujung minggu ini, Kabilesh menyasarkan untuk meraih kutipan mata maksimum sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam perebutan gelaran keseluruhan MSBK 2026.

Anda mungkin berminat dengan

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Related Topics

Must Watch Video