Skip to main content

Sukan SEA

Jurulatih Malaysia jadi rebutan negara luar, MSN rangka strategi hadapi Sukan SEA 2027

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

Jefri

Prestasi cemerlang jurulatih tempatan yang berjaya mengetuai negara lain sehingga menewaskan pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa dilihat sebagai satu perkembangan positif, termasuk kejayaan ketua jurulatih hoki dalam dewan Indonesia, Dhaarma Raj Abdullah

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin, menegaskan bahawa pencapaian itu membuktikan kualiti jurulatih Malaysia berada pada tahap tertinggi dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Advertisement

Menurutnya, walaupun terdapat cadangan untuk membawa pulang jurulatih-jurulatih berkenaan, faktor kewangan menjadi kekangan utama memandangkan majikan luar negara menawarkan ganjaran yang lebih tinggi.

“Kita tidak menafikan bahawa jurulatih-jurulatih Malaysia yang berada di luar negara adalah dalam kalangan jurulatih terbaik.

“Kadangkala faktor kewangan memainkan peranan penting kerana mereka menerima gaji yang lebih besar di luar negara,” katanya.

Jefri turut memaklumkan bahawa MSN sentiasa mengadakan perbincangan dengan jurulatih tempatan yang berkhidmat di luar negara, termasuk Dhaarma Raj dan Choong Han, namun keputusan mereka dipengaruhi oleh pelbagai faktor lain.

Dalam masa sama, MSN telah merangka pelan tersendiri bagi membawa masuk jurulatih baharu sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA Malaysia 2027.

“Bagi persiapan 2026 dan 2027, kita akan mengadakan perbincangan dengan pihak persatuan pada Januari untuk mengenal pasti kumpulan jurulatih yang sesuai.

“Contohnya, bagi sukan wushu, Datuk Choong Kim Fat telah mencadangkan calon jurulatih dan perbincangan telah dijalankan,” jelasnya.

Tambahnya, sukan renang pula memerlukan jurulatih berprestasi tinggi dan pihak persatuan diminta mengenal pasti calon terbaik untuk dibincangkan dan diluluskan pada Januari.

Jefri yakin hasil kerjasama dan perbincangan bersama persatuan sukan akan membolehkan MSN membuat keputusan terbaik demi memastikan persiapan rapi kontinjen negara menjelang Sukan SEA 2027.

Must Watch Video