Prestasi semasa Leong Jun Hao menafikannya untuk menyertai beberapa kejohanan lagi untuk sebelum menutup kempen 2026.
Ketika majoriti pemain negara berjuang di Negara Matahari Terbit itu, lain ceritanya dengan perseorangan utama negara itu yang dikerah menjalani latihan harian di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.
Ketua jurulatih perseorangan negara, Kenneth Jonassen, mengakui keputusan drastik tidak melepaskan Jun Hao untuk berjuang dalam Masters Jepun minggu ini sambil berharap tempoh singkat ini mampu memacu persembahan anak buahnya agar lebih garang.
"Dia sepatutnya menyertai Masters Jepun tapi selepas Terbuka Perancis, kami berasakan dia tidak cukup masa untuk melakukan persiapan.
"Mutu latihannya dilihat tidak mampu bersaing aksi tahap tinggi. Maka sebab itulah kami tidak menyenaraikan dalam Masters Jepun dan menggunakan tempoh seminggu ini untuk persiapan lebih rapi menghadapi Terbuka Hong Kong.
"Adakalanya kami perlu mengubah segala perancangan apabila berdepan rintangan dan dalam jelajah di Eropah yang lalu, kami mengesan bahawa tahap permainannya masih jauh daripada yang diharapkan," katanya.
Jonassen tidak berselindung di sebalik keputusan yang dibuat ke atas juara remaja Asia 2017 itu dan dia turut menyuarakan kebimbangan terhadap pemain berusia 27 tahun itu sebaik format 15 mata bermula tahun hadapan.
Tambahnya, Jun Hao perlu lebih fokus dengan sasarannya dalam Terbuka Hong Kong minggu depan yang bakal menjadi medan penutupnya musim ini.
"Dia perlu lebih agresif dan kepantasannya harus dipertingkatkan.
"Namun, aksi konsisten dan tidak melepaskan mata juga amat mustahak dalam sistem 15 mata supaya tidak meletakkan pemain di bawah tekanan.
"Sehubungan itu, kami menekankan aspek kepantasan," katanya.