Jika bukan Hajime Moriyasu, jurulatih berkelas A lain yang dari Jepun juga masih mampu menjadi pilihan buat Harimau Malaya.
Dalam temu bual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, bekas pengurus skuad bola sepak negara, Datuk Kamarul Ariffin Shahar, percaya kepakaran jurulatih asing mampu memberi impak positif.
Kamarul Ariffin menyuarakan pandangan itu berdasarkan pengamatannya ketika turut berada dalam era kepimpinan Kim Pan-gon dari 2022 hingga 2024.
Menurutnya, pelantikan jurulatih baharu perlu disegerakan bagi memastikan persiapan Harimau Malaya ke arah kempen kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia April tahun depan dapat dimulakan lebih awal.
"FAM perlu mengambil kira faktor kewangan untuk mengambil jurulatih yang mempunyai nama besar.
"Mereka tidak datang keseorangan mereka datang dengan pakej barisan kejurulatihannya sendiri. Ia memerlukan bajet yang amat besar.
"Saya amat mengalu-alukan kedatangan jurulatih berprestij untuk membantu kita layak seberapa segera ke Piala Dunia -- kalau peringkat kelayakan diubah dan kita berpeluang cerah.
"Dan saya harap kita sekali lagi layak ke Piala Asia secara merit," katanya.
Terdahulu, Nadi Arena melaporkan Moriyasu yang membimbing Samurai Biru dalam Piala Dunia 2026 menjadi antara nama yang didambakan peminat untuk mengisi kerusi panas Harimau Malaya.
Difahamkan, FAM sudah mengemukakan tawaran kepadanyam namun pengendali berusia 58 tahun itu belum bersedia menerimanya atas beberapa faktor dengan Eropah dikatakan menjadi destinasi yang lebih diberikan perhatian.
Kamarul Ariffin juga mengandaikan Tan Cheng Hoe kekal membimbing skuad kebangsaan sekiranya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak berhasrat melantik pengendali asing.
"Cheng Hoe berkemampuan untuk membimbing dan memberi nafas yang lebih baik jika diberi pembantu yang berprestasi tinggi dalam bola sepak moden.
"Dan tidak mustahil untuknya membawa Malaysia ke Piala Asia setidak-tidaknya," katanya.