Sempena Sambutan Jubli Mutiara 30 tahun Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), pihak sekolah itu memperkenalkan satu logo legasi sebagai simbolik kepada perjalanan cemerlang SSBJ dalam melahirkan atlet bertaraf dunia.
Pengetua SSBJ, Huszaidi Hussin, menegaskan bahawa sejauh mana pencapaian sukan dikejar, aspek akademik dan sahsiah diri tetap menjadi keutamaan, seiring dengan usaha melahirkan pelajar yang seimbang dan berdaya saing.
Advertisement
Sebagai bukti, pencapaian cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan program prauniversiti setiap tahun menunjukkan sistem pembangunan atlet di SSBJ berjaya melahirkan insan yang lengkap dari segi ilmu pengetahuan dan prestasi sukan.
"Ini membuktikan SSBJ berada di tahap terbaik untuk menjadi contoh dalam bidang sukan khususnya," katanya.
Majlis Anugerah Gemilang SSBJ menyaksikan pemain bola jaring kebangsaan, Siti Nur Hidayatul Akhma Suhhaimi, dinobat sebagai penerima anugerah utama All Round Student Award 2025 selepas mempamerkan kecemerlangan luar biasa, baik di dalam gelanggang mahupun bidang akademik.
Hidayatul Akhma menyifatkan pengiktirafan itu sebagai momen paling bermakna buat dirinya selepas menempuh pelbagai suka dan duka dalam bergelar pelajar SSBJ serta bertekad untuk terus melakar lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.
Dalam masa sama, Anugerah Olahragawan SSBJ 2025 menjadi milik Muhammad Azri Azhar Amaluz Zaman daripada sukan kriket yang menyifatkan sokongan padu pihak sekolah menjadi pemangkin utama dalam membentuk dirinya sebagai atlet yang mampu berdaya saing di peringkat tertinggi.
"Sukan dan akademi kena selari dan fokus kedua-duanya.
"Keluarga dan rakan-rakan sering memberi semangat selain daripada dorongan cikgu," katanya pula.
Nur Aneesa Aira Mohamad Affendi -- yang diangkat sebagai Pelajar Cemerlang SPM 2025 -- menganggap perkara itu tidak mustahil untuk menjadi sumber inspirasi buat warga SSBJ yang lain.
"Ketika SPM, saya masih sibuk berlatih kerana masih perlu menyertai kejohanan.
"Jadi saya mesti imbangkan di antara akademik dan sukan.
"Walaupun penat tapi usaha tidak akan mengkhianati hasil," katanya.