Impian mencipta detik manis bagi kombinasi gandingan baru, Aaron Chia-Tee Kai Wun berdepan juara Kejohanan Dunia BWF 2025 dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, tidak kesampaian apabila langkah mereka terhenti dalam pusingan kedua Sukan Asia, sebentar tadi.
Biarpun selesa mendahului 15-11, kestabilan kombinasi Aaron-Kai Wun mula goyah menerusi kebangkitan prestasi lawan yang mengejar dengan terlebih dahulu ikat kedudukan 17-17, sebelum mematikan cabaran set pertama pemain negara hasil keputusan 21-19.
Ada bibit kebangkitan cuba diserlahkan Aaron-Kai Wun, namun jaguh Korea Selatan itu tidak memberi jalan mudah apabila terus menghimpit setiap asakan lawan, bermula dengan mata pendahuluan selepas mata ke-11 sebelum jauh menjarakkan jurang mata.
Kekalahan 16-21 ini secara tidak langsung menyaksikan kempen kombinasi baharu ini berakhir awal.