Skip to main content

Ping Pong

Johor dominasi hari terakhir Kejohanan Ping Pong Orang Pekak Malaysia

Johor dominasi hari terakhir Kejohanan Ping Pong Orang Pekak Malaysia

Johor mengesahkan dominasi mereka pada hari terakhir Kejohanan Ping Pong Orang Pekak Malaysia apabila muncul juara dalam acara beregu lelaki dan wanita, sekali gus membuktikan kekuatan kontinjen negeri itu menjelang saingan antarabangsa.

Tumpuan terarah kepada pasangan Mohd Faizal Bulhini dan Mohamad Hazwan Abdul Manap yang dinobatkan sebagai juara beregu lelaki selepas menewaskan rakan sepasukan sendiri dalam aksi final.

Bagi Faizal, kejayaan meraih gelaran kedua selepas menjuarai acara perseorangan sehari sebelum ini cukup bermakna memandangkan dia baru menceburi sukan ping pong sejak kira-kira setahun lalu.

Sementara itu, Hazwan yang juga merupakan pemandu e-hailing Grab menyifatkan kejayaan tersebut sebagai petanda positif buat skuad negara menjelang Kejohanan Asia Pasifik di Pulau Pinang pada Oktober depan.

Menurutnya, prestasi yang dipamerkan membuktikan persiapan pasukan berada di landasan terbaik untuk menghadapi cabaran lebih besar.

Aksi final menyaksikan Faizal-Hazwan berdepan tentangan sengit daripada pasangan Ammar Shah Ali dan Norhafizan Zaini.

Mereka terlebih dahulu memenangi set pertama 11-9 sebelum lawan bangkit menyamakan kedudukan menerusi kemenangan 11-1 pada set kedua.

Bagaimanapun, pengalaman dan ketenangan Faizal-Hazwan menjadi pemisah apabila mereka menguasai dua set berikutnya untuk melakar kemenangan 3-1 sekali gus muncul juara.

Dalam acara beregu wanita pula, Johor sekali lagi membuktikan keunggulan apabila menguasai dua kedudukan teratas.

Menggunakan format liga sepusingan (round robin), pasangan Nabisah Viran dan Nurulain Hamzah muncul juara selepas mengumpul enam mata penuh.

Naib juara menjadi milik rakan senegeri, Nurul Nasiha Mohd Khair dan Siti Aida Hassan, manakala Nor Faizah Mohamed bersama Siti Norbaya Mohamad melengkapkan kedudukan podium.

Kejayaan menyapu bersih gelaran beregu lelaki dan wanita mengukuhkan status Johor sebagai kuasa utama dalam arena ping pong orang pekak negara, selain memberi keyakinan menjelang Kejohanan Asia Pasifik yang bakal berlangsung di Pulau Pinang, Oktober ini.

Must Watch Video