Ketua jurulatih Chelsea, Liam Rosenior, menyifatkan penyerangnya Joao Pedro, kini berada pada tahap yang sama dengan penyerang elit dunia seperti Erling Haaland, Harry Kane dan Kylian Mbappe.
Penyerang Brazil berusia 24 tahun itu mencuri tumpuan apabila meledak hatrik ketika membantu Chelsea menewaskan Aston Villa 4-1 pada Rabu lalu, sekali gus menjadikan jumlah jaringannya bertambah kepada 17 gol dalam semua pertandingan musim ini.
Advertisement
Rosenior berkata sepanjang dua bulan mengendalikan pasukan itu, Pedro telah membuktikan dirinya sebagai penyerang bertaraf dunia.
“Joao kini berada dalam kategori itu. Sepanjang dua bulan saya di sini, dia sentiasa menunjukkan bahawa dia penyerang bertaraf dunia,” katanya.
Daripada 14 gol direkodkan di Liga Perdana Inggeris musim ini, kesemuanya hadir daripada permainan terbuka tanpa sepakan penalti.
Hanya Haaland yang memiliki lebih banyak jaringan tanpa bantuan sepakan penalti dalam liga dengan 19 gol.
Beliau bagaimanapun mengakui perbandingan dengan Haaland mungkin kurang sesuai, namun tetap menegaskan bahawa Joao Pedro memiliki semua kualiti yang diinginkannya.
“Saya tidak akan menukar Joao dengan mana-mana pemain ketika ini. Dia mempamerkan semua ciri dan kualiti yang saya mahu lihat.
“Perkara terbaik tentang Joao adalah usianya.
“Dia masih boleh meningkatkan prestasinya dan saya sudah melihat beberapa aspek yang boleh diperbaiki,” tambahnya.
Chelsea kini berharap Joao Pedro mampu menjadi penyerang tulen pertama kelab itu dengan menjaringkan sekurang-kurangnya 20 gol dalam satu musim sejak kali terakhir dilakukan Diego Costa pada musim 2016-17.