Penyerang Chelsea, Joao Pedro, menjadi perhatian selepas meraikan jaringan ketika menentang bekas kelabnya, Brighton & Hove Albion, dalam aksi dramatik Liga Perdana Inggeris yang berakhir 4-3 di Stamford Bridge.
Pedro, yang meninggalkan Brighton untuk menyertai Chelsea, menjadi sasaran penyokong pelawat sejak awal permainan.
Ketegangan memuncak apabila penyerang Brazil itu berjaya menemui sasaran dan memilih untuk meraikannya betul-betul di hadapan penyokong Brighton.
Tindakan tersebut mengundang kritikan, termasuk daripada bekas pemain sayap Brighton, Anthony Knockaert, yang menyifatkan Pedro sebagai tidak mengenang budi.
Menerusi Instagram, Knockaert menulis: “Jangan lupa jasa Brighton untuk anda. Tidak kenang budi.”
Namun, Pedro tidak menganggap sambutan tersebut sebagai satu bentuk penghinaan terhadap bekas kelabnya.
Sebaliknya, pemain itu menjelaskan bahawa dia hanya melakukan rutin sambutan gol seperti biasa, tanpa mengira siapa penyokong yang berada di belakang gawang.
“Saya cuma meraikannya. Ia boleh jadi mana-mana penyokong, mana-mana pasukan. Saya cuma mahu melakukan sambutan saya,” katanya kepada BBC Sport.
Pedro turut mengalihkan fokus kepada perkembangan Chelsea di bawah kendalian Xabi Alonso, sambil mengakui pasukannya perlu lebih konsisten selepas membenarkan Brighton bangkit dalam perlawanan tersebut.
“Kami bermula dengan sangat baik tetapi kemudian melepaskan gol. Kami perlu lebih konsisten dan tidak memberikan tenaga kepada lawan,” katanya.
Pedro turut memuji penjaga gol baharu Chelsea, Emiliano Martinez, yang dianggap memainkan peranan penting dalam membantu The Blues mengutip tiga mata.
“Dibu sekali lagi menunjukkan kualitinya. Langkah demi langkah, kami akan mencapai tahap kami,” katanya.
Buat Chelsea, kemenangan tersebut memastikan mereka meneruskan permulaan sempurna musim ini, manakala Pedro kini terpaksa berdepan perdebatan mengenai cara meraikan gol ketika menentang bekas majikannya.