Bekas ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, mengakui terkesan setiap kali mendengar lagu Negaraku berkumandang pada ketika dia berada di kem Indonesia.
Air tangan Dhaarma menyaksikan skuad hoki dalam dewan negara sekali lagi terlepas pingat emas kepada seteru itu dalam aksi final Sukan SEA Thailand, baru-baru ini.
Advertisement
Pengarah teknikal pasukan hoki kebangsaan Indonesia, merangkap ketua jurulatih skuad hoki dalam dewan lelaki republik itu, membimbing pasukan berkenaan mempertahankan emas dengan menewaskan Malaysia 2-0 menerusi penentuan penalti dalam aksi final di Pusat Belia Bangkok.
Ia menyaksian Indonesia mempertahankan pingat emas yang dimenangi dalam edisi di Kemboja pada 2023, juga dengan menewaskan Malaysia dalam final.
Walaupun namanya kian disegani di negara seberang itu, Dhaarma mengakui rasa cintanya kepada Malaysia tidak pernah pudar.
"Setiap kali duduk dan dengar lagu Negaraku dimainkan dan saya berdiri di bahagian sebelah (negara Indonesia), jiwa saya kacau, bibir saya mahu menyanyikan lagu Negaraku tetapi saya tahan kerana saya bimbang dirakam kamera.
"Saya sayangkan negara saya, saya patriotik, saya jadi atlet dan jurulatih untuk Malaysia tetapi saya tiada pilihan, saya sudah berada di Indonesia selama enam tahun dan saya juga membina kerjaya di sana, tetapi setiap kali mendengar lagu Negaraku, ia tetap terasa," katanya seperti yang dilaporkan Sinar Harian.