Selangor menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya tidak membawa kanak-kanak ke Stadium Petaling Jaya bagi menyaksikan perlawanan menentang Melaka malam ini susulan keadaan jerebu yang melanda kawasan berkenaan.
Dalam satu kenyataan, Selangor memaklumkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sekitar Petaling Jaya setakat jam 3 petang berada pada paras 172, sebelum dijangka menurun kepada sekitar 159 menjelang jam 7 malam.
Bagaimanapun, berdasarkan pekeliling yang dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), perlawanan hanya perlu ditangguhkan sekiranya bacaan IPU melebihi 201.
“Namun mengambil kira keadaan jerebu dan bacaan IPU semasa di sekitar Petaling Jaya, kami menasihatkan agar kanak-kanak kecil tidak hadir ke perlawanan Selangor vs Melaka malam ini,” kata kenyataan itu.
Dalam masa sama, kelab memberi kelonggaran kepada penyokong yang sudah membeli tiket kanak-kanak, dengan membenarkan tiket berkenaan digantikan untuk salah satu perlawanan di laman sendiri Selangor yang bakal menjadi pilihan mereka.
Selangor turut menggalakkan ibu bapa dan penjaga supaya mengutamakan aspek kesihatan serta keselamatan anak-anak ketika membuat keputusan untuk hadir ke perlawanan berkenaan.
“Keselamatan dan kesejahteraan anak-anak anda sentiasa menjadi keutamaan kami,” jelas kelab.
Langkah tersebut dilihat sebagai pendekatan berhati-hati Selangor dalam melindungi penyokong cilik, biarpun bacaan IPU semasa masih belum mencapai paras yang ditetapkan MFL untuk penangguhan perlawanan.