Skip to main content

Bola Sepak

Jenama fesyen mewah sekali lagi dipilih hasilkan kotak trofi Piala Dunia 2026

Jenama fesyen mewah sekali lagi dipilih hasilkan kotak trofi Piala Dunia 2026

Trofi Piala Dunia FIFA sekali lagi akan dibawa ke pentas final dalam sebuah kotak eksklusif rekaan jenama fesyen mewah Perancis, Louis Vuitton, meneruskan kerjasama ikonik antara jenama tersebut dan FIFA.

Kotak khas itu akan mengiringi trofi paling berprestij dalam bola sepak dunia ke Stadium New York-New Jersey bagi perlawanan akhir Piala Dunia 2026.

Rekaan terbaharu itu menampilkan huruf 'V' berwarna emas yang membawa dua makna -- Victory (Kemenangan) dan Vuitton -- di samping corak monogram ikonik Louis Vuitton serta pelindung bucu daripada loyang bersalut emas.

Bahagian dalam kotak pula dilapisi kulit berwarna kuning air dan disertakan lencana khas yang memperingati kerjasama antara Louis Vuitton dan FIFA.

Ia merupakan kali kelima berturut-turut Louis Vuitton diberi penghormatan menghasilkan kotak khas trofi Piala Dunia, selepas melakukannya pada edisi 2010, 2014, 2018 dan 2022.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Louis Vuitton, Pietro Beccari, berkata kerjasama tersebut melambangkan komitmen kedua-dua pihak terhadap kecemerlangan.

“Selama lebih sedekad, Louis Vuitton dan FIFA berkongsi komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap kecemerlangan, berlandaskan kepercayaan bahawa sukan mempunyai kuasa untuk memberi inspirasi dan menyatukan manusia,” katanya dalam satu kenyataan.

Penglibatan jenama mewah dalam sukan profesional bukan sesuatu yang baharu.

Di Amerika Syarikat, Tiffany & Co. telah menghasilkan trofi Vince Lombardi, yang diberikan kepada juara Super Bowl, sejak edisi pertama kejohanan itu pada 1967.

Louis Vuitton pula turut menghasilkan kotak trofi eksklusif bagi beberapa perlumbaan utama Formula 1 menerusi perjanjian jangka panjang selama 10 tahun.

Namun, trofi Piala Dunia mempunyai nilai sentimental dan sejarah yang jauh lebih besar.

Hanya terdapat satu trofi rasmi Piala Dunia FIFA, yang lazimnya disimpan di Muzium FIFA di Zurich, menjadikan peluang menghasilkan kotak khas untuk trofi tersebut sebagai satu penghormatan yang sangat eksklusif.

Sejak beberapa edisi lalu, detik trofi dibawa masuk ke stadium menggunakan kotak Louis Vuitton sebelum sepak mula final telah menjadi sebahagian daripada simbolik kemuncak kejohanan, menggabungkan dunia sukan dan kemewahan dalam satu imej yang cukup ikonik.

Anda mungkin berminat dengan

adidas Football WORLD CUP OFFICIAL EMBLEM CAP Unisex Black KE7368

adidas Football WORLD CUP OFFICIAL EMBLEM CAP Unisex Black KE7368

Nike Men's Mercurial Vapor 17 Pro Firm-Ground Low-Top Soccer Cleats - Multi-Color [IO8225-900]

Nike Men's Mercurial Vapor 17 Pro Firm-Ground Low-Top Soccer Cleats - Multi-Color [IO8225-900]

adidas Football Argentina 26 Home Jersey Women White KA8125

adidas Football Argentina 26 Home Jersey Women White KA8125

adidas Football Spain 26 Home Fan Jersey Men Red JZ5780

adidas Football Spain 26 Home Fan Jersey Men Red JZ5780

New Balance 1000 - Grey

New Balance 1000 - Grey

Related Topics

Must Watch Video