Bintang Muay Thai negara, Johan Ghazali Zulfikar, menyifatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai kelab bola sepak terbaik di Malaysia dan wajar dijadikan contoh oleh pasukan lain.
Johan atau lebih mesra disapa Jojo berkata kejayaan JDT membina empayar bola sepak sejak lebih sedekad lalu, selain memiliki fasiliti bertaraf dunia, menjadi antara faktor utama yang membezakan kelab itu dengan pasukan lain.
Menurutnya, pembangunan yang dilakukan JDT membuktikan kesungguhan kelab berkenaan dalam memastikan bola sepak tempatan terus berkembang ke tahap lebih tinggi.
Anak jati Sarawak itu hadir ke Stadium Sultan Ibrahim semalam menyaksikan perlawanan Sumbangsih antara JDT dan Kuching City.
Lebih menarik, kunjungan tersebut turut memberi peluang kepada Jojo menikmati pengalaman sulung menyaksikan perlawanan bola sepak secara langsung dari dalam stadium.
Pengalaman itu pastinya menjadi kenangan tersendiri buat juara Muay Thai negara tersebut, apatah lagi berpeluang menyaksikan aksi JDT di hadapan penyokong sendiri.
Bagi Jojo, kejayaan JDT bukan sekadar diukur menerusi trofi yang dimenangi, tetapi turut melibatkan pembangunan infrastruktur, fasiliti dan ekosistem kelab yang tersusun.