Selepas berpesta gol ketika membelasah Kelantan Red Warriors pada Rabu lalu, juara Liga Super 12 kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan momentum positif apabila membelasah Star City 7-0 semalam.
Kemenangan besar itu menyaksikan Harimau Selatan kini mengungguli carta Liga Super dengan sembilan mata selepas mengharungi tiga perlawanan.
Lebih mengagumkan, JDT masih belum dibolosi selepas tiga aksi, selain sudah meledak 19 gol untuk mengukuhkan status mereka sebagai pasukan paling produktif setakat ini.
Dalam aksi yang berlangsung di Iskandar Puteri itu, Bergson da Silva tampil sebagai watak utama apabila meledak hatrik, manakala Marcos Guilherme, Kevin Medina, Shahab Zahedi dan Carlos Akapo turut mencetak nama selaku penjaring.
Ketua jurulatih JDT, Xisco Muñoz, jelas berpuas hati dengan komitmen serta kesungguhan yang dipamerkan anak buahnya dalam mengharungi permulaan musim.
Bagaimanapun, pengendali kelahiran Sepanyol itu mengingatkan pemainnya supaya mengekalkan tahap prestasi terbaik kerana mereka bakal berdepan jadual padat, bukan sahaja dalam saingan domestik, malah di pentas Asia Tenggara dan Asia.
Xisco mahu para pemainnya terus fokus serta mengekalkan mentaliti untuk memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan yang diharungi.
Sementara itu, di kem Star City, ketua jurulatih, Mehmed Durakovic, mengakui pasukannya memperoleh pengajaran berguna selepas berdepan skuad JDT yang disifatkannya sebagai sebuah pasukan berkualiti tinggi.
Kekalahan besar itu menjadi pengalaman penting buat Star City untuk menilai tahap sebenar pasukan serta memperbaiki kelemahan menjelang aksi seterusnya.
Buat JDT pula, kemenangan 7-0 itu bukan sekadar menambah tiga mata, tetapi turut menjadi amaran awal kepada pencabar Liga Super bahawa Harimau Selatan sekali lagi hadir dengan misi mempertahankan kejuaraan dan meneruskan dominasi mereka.