Skip to main content

Bola Sepak

JDT terlepas kemenangan, gol sendiri Glauder selamatkan maruah Chelsea

JDT terlepas kemenangan, gol sendiri Glauder selamatkan maruah Chelsea

Stadium Sultan Ibrahim sekali lagi bergema dengan aksi sengit apabila Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 3-3 ketika menentang Chelsea dalam perlawanan persahabatan antarabangsa.

Meskipun berdepan barisan Chelsea yang banyak menampilkan pemain muda selepas kebanyakan tonggak utama tidak diturunkan dalam aksi menentang AC Milan semalam, JDT hadir dengan skuad utama.

Malah, bintang Harimau Selatan, Arif Aiman Hanapi, tidak menunggu lama untuk membuktikan mengapa Stadium Sultan Ibrahim sering dianggap sebagai gelanggang keramat buat JDT.

Arif Aiman membuka tirai jaringan pada minit ke-14 menerusi penyudah yang mencetuskan sorakan gemuruh lebih 35,000 penyokong di stadium.

Bagaimanapun, kelebihan tersebut tidak bertahan lama apabila JDT dihukum menerusi sepakan penalti selepas Kevin Medina didapati melakukan kekasaran dalam kawasan penalti.

Pengadil tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti kepada Chelsea sebelum kesempatan itu disempurnakan Liam Delap untuk mengikat kedudukan 1-1.

Chelsea kemudian meningkatkan tekanan dan lebih banyak menguasai permainan pada babak pertama.

Juara Liga Juara-Juara Eropah dua kali itu merekodkan 57 peratus penguasaan bola, namun JDT tetap bertahan dengan disiplin tinggi untuk memastikan keputusan seri kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Chelsea tampil lebih agresif dalam usaha mencari gol kedua.

Usaha mereka membuahkan hasil apabila Jamie Gittens dikasari pada minit ke-61, sekali gus memberikan peluang buat Chelsea mendapatkan sepakan penalti kedua.

Delap sekali lagi mengambil tanggungjawab menyempurnakan sepakan tersebut dengan tenang untuk memberikan Chelsea kelebihan 2-1.

Namun, JDT enggan mengalah.

Oscar Arribas muncul sebagai watak penting buat Harimau Selatan apabila meledakkan jaringan penyamaan untuk kembali menghidupkan peluang tuan rumah.

Momentum JDT semakin memuncak apabila masa permainan berbaki kurang lima minit.

Penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super, Bergson da Silva, muncul sebagai wira sementara apabila meledakkan gol ketiga JDT untuk mengubah kedudukan kepada 3-2.

Stadium Sultan Ibrahim kembali bergema dengan sorakan penyokong yang sudah membayangkan kemenangan bersejarah ke atas kelab gergasi England itu.

Namun, drama belum berakhir.

Ketika kemenangan JDT semakin hampir untuk direalisasikan, nasib malang menimpa tuan rumah apabila Antonio Glauder tertampan bola ke gawang sendiri pada lewat permainan.

Jaringan tersebut kembali mengikat kedudukan 3-3 dan memuktamadkan keputusan sehingga wisel penamat.

Keputusan seri itu pastinya meninggalkan rasa kecewa buat JDT selepas mereka dua kali bangkit daripada ketinggalan sebelum kembali berada di hadapan.

Bagaimanapun, persembahan yang ditampilkan Harimau Selatan tetap menjadi petanda positif apabila mereka mampu memberikan tentangan sengit kepada kelab bertaraf dunia.

Arif Aiman, Oscar Arribas dan Bergson masing-masing memainkan peranan penting dalam kebangkitan JDT, manakala Chelsea membuktikan ketajaman mereka untuk terus menghukum setiap kesilapan tuan rumah.

Apa yang pasti, JDT hampir mencipta satu lagi malam bersejarah di Stadium Sultan Ibrahim — sebelum gol sendiri pada penghujung permainan memaksa kedua-dua pasukan berkongsi mata selepas 90 minit.

Anda mungkin berminat dengan

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

Related Topics

Must Watch Video