Seminggu menjelang perlumbaan Formula 1 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) minggu depan, mungkin ramai tidak tahu ada pelumba negara yang hampir mengikut jejak Alex Yoong bergelar pemandu F1.
Individu berkenaan ialah Jazeman Jaafar, yang cukup sinonim dengan perlumbaan Formula 3 sekitar 2010 hingga 2015.
"Angkatan saya kebanyakannya sudah menjadi pemandu Formula 1 ketika ini," katanya kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizam.
"Rakan sepasukan saya ialah Carlos Sainz. Selain itu ada Kevin Magnussen dan Jean-Eric Vergne, mereka semua angkatan saya.
"Itu adalah tahap Formula 3 pada ketika itu. Jadual Formula 3 memang agak padat. Kami ada 10 pusingan dan kemudian ada perlumbaan tunggal lain seperti Grand Prix Macau, satu perlumbaan di Perancis dan satu di Belanda.
"13 perlumbaan ketika kami berusia 18 tahun dalam Formula 3 tetapi daripada platform itulah pasukan F1 dapat melihat bakat yang ada untuk masa depan.
"Tekanannya memang amat tinggi kerana tahap yang dikehendaki adalah seperti yang kita dapat lihat ketika mereka dalam Formula 1.
"Tetapi sebagai rakan, mereka masih berhubung dengan saya sehingga hari ini."