Skip to main content

Badminton

Jangan pernah putus asa -- Goh Jin Wei

goh jin wei

Pemain perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei, membuktikan kecekalan adalah kunci kejayaan apabila menamatkan kemarau kejuaraan selama sembilan tahun dengan merangkul gelaran Terbuka Singapura semalam.

Kemenangan itu amat bermakna buat pemain berusia 26 tahun itu, yang kali terakhir mengecap kejuaraan di peringkat senior ketika memenangi pingat emas Sukan SEA 2017.

Advertisement

“Sudah sekian lama, kembali bergelar juara selepas lapan tahun. Jangan pernah berputus asa kerana segalanya tidak mustahil.

"Bagaimana jika keajaiban itu berlaku? Teruskan melangkah untuk perjalanan di hadapan," kata Jin Wei dalam satu hantaran di akaun media sosial miliknya.

Dalam aksi final itu, Jin Wei mempamerkan aksi dominan apabila menundukkan wakil Indonesia, Komang Ayu,  21-11, 21-11.

Kejayaan sulung dalam tempoh hampir sedekad itu menyaksikan pemain kelahiran Pulau Pinang berkenaan kembali menemui sentuhan terbaiknya selepas kali terakhir memenangi emas dalam Kejohanan Remaja Dunia dan Sukan Olimpik Remaja pada 2018.

Ini merupakan penampilan final kedua buat Jin Wei pada tahun ini selepas turut melangkah ke perlawanan akhir Masters Thailand pada Januari lalu.

Rekod cemerlangnya di Singapura kali ini lebih membanggakan apabila dia memenangi kesemua perlawanan dengan kemenangan straight sets.

Prestasi memberangsangkan itu menjadi tonik berharga buat skuad Piala Uber negara, yang dijadualkan berlangsung pada April depan.

Jin Wei, yang sudah mengesahkan penyertaannya dalam kejohanan itu, dijangka akan menggalas tugas sebagai perseorangan kedua berdasarkan kedudukan ranking semasa.

 

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found