Jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak, gembira melihat impak segera yang ditonjolkan pemain warisan Harimau Malaya, Gabriel Palmero, yang membuka akaun jaringan bersama kelab dalam penampilan pertamanya malam semalam.
Pertahanan kelahiran Sepanyol itu masuk menggantikan Danial Asri pada minit ke-64 dan tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol pada minit ke-69 untuk Kuching City mendahului 3-1 ketika ini.
Advertisement
Ia, sekali gus membantu The Cats menempah tiket ke separuh akhir Piala Malaysia bertemu Selangor nanti.
Bagaimanapun, pengendali berusia 48 tahun itu tidak mahu meletakkan tekanan berlebihan kepada Palmero berikutan pelbagai faktor menjadi topik kebangkitan semula tonggak itu.
“Kita boleh nampak Gabriel bermain dengan baik malam ini. Dia mendapat banyak sokongan daripada rakan sepasukan.
“Tetapi kita jangan letak terlalu banyak tekanan ke atas dirinya kerana dia tidak bermain empat bulan. (Tempoh) empat bulan, (tahap) kecergasan permainan banyak hilang.
“Hari ini satu langkah yang bagus buat Palmero. Ia satu permulaan yang baik dan dia mempamerkan prestasi bagus. Harapnya, dia akan terus menyumbang kepada Kuching City,” katanya selepas perlawanan.
Sebagai rekod, Palmero antara tujuh pemain warisan negara yang dikenakan penggantuan 12 bulan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada September lalu.
Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) pada hujung bulan lalu, menangguhkan hukuman itu untuk memberikan kelegaan buat pemain berusia 24 tahun berkenaan bagi menghidupkan semula kariernya di Kuching.