Bukan satu, bukan dua tetapi tiga jaringan berkelas dunia ditampilkan Kuala Lumpur (KL) City menerusi sepakan gunting Adam Nor Azlin dan dua jaringan daripada sepakan percuma dari kapten, Paulo Josue, malam tadi.
Bagi ketua jurulatih KL City, Datuk Dollah Salleh, menganggap kebangkitan dalam separuh masa kedua dengan tiga jaringan menakjubkan itu sedikit sebanyak akan bantu daripada segi moral pasukan bangun daripada mimpi ngeri yang dihadapi pada awal musim.
"Itu gol berkelas dunia.
"Kita tidak boleh kata dia tidak bermain bagus walaupun di atas, dia kelihatan sambil lewa.
"Dia ada naluri sebagai penjaring jadi saya bagi kebebasan untuknya melakukan sesuatu.
"Paulo Josue pula memiliki kelebihan untuk buat sestatu.
"Apabila masuk ke bilik persalinan, saya tak tegur sangat cuma cakap: 'bila-bila pun kita boleh menang'," katanya di Kota Bharu.
Sementara itu, ketua jurulatih Kelantan Red Warrior, Irfan Bakti Abu Salim, mengakui pengalaman cetak anak buahnya dalam Liga Super menyumbang kepada prestasi kurang memberangsangkan.
Namun, Irfan Bakti juga ingin menegaskan masalah yang dihadapi pasukannya ketika ini juga tidak berapa membantu.
"Terkejut, majoriti pemain saya baru bermain dalam Liga Super melainkan Latiff Suhaimi dan Faiz Nasir, itu pun lima tahun lalu.
"Itu bukan satu alasan kerana masuk dalam pasukan, kena berikan yang terbaik tapi setakat itu sahaja.
"Pihak pengurusan memang berusaha berbuat pelbagai cara untuk menyelesaikan masalah ini. Ini masalah yang tidak sepatutnya kami tanggung," katanya.