Mimpi ngeri Itali di pentas pusingan kelayakan Piala Dunia berterusan apabila juara dunia empat kali itu sekali lagi terlepas slot ke kejohanan berprestij itu sebaik tunduk 1-4 dalam penentuan sepakan penalti kepada Bosnia-Herzegovina selepas terikat 1-1 dalam waktu sebenar awal pagi tadi.
Keputusan di Stadium Bilino Polje itu menyaksikan Gli Azzurri gagal melayakkan diri buat kali ketiga berturut-turut, satu tamparan hebat buat gergasi Eropah itu sejak menjulang trofi pada 2006.
Advertisement
Itali sebenarnya bermula garang apabila Moise Kean meletakkan pelawat di hadapan seawal minit ke-15 menerusi rembatan padu dari luar kotak penalti, hasil kesilapan hantaran penjaga gol Bosnia, Nikola Vasilj.
Bagaimanapun, skrip perlawanan berubah pada minit ke-42 apabila Alessandro Bastoni dilayangkan kad merah gara-gara kekasarannya terhadap Amir Memic.
Kelebihan itu dimanfaatkan sepenuhnya Bosnia untuk terus menggempur gawang Itali.
Walaupun penjaga gol, Gianluigi Donnarumma, bertindak cemerlang menafikan deretan peluang tuan rumah, benteng Itali akhirnya bocor pada minit ke-79 apabila Haris Tabakovic menyambar bola muntah susulan tandukan Edin Dzeko.
Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat masa tambahan, mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti yang penuh dramatik.
Dalam penentuan itu, kegagalan Pio Esposito dan Bryan Cristante menyempurnakan sepakan mereka membawa padah, pada ketika Bosnia mempamerkan ketenangan luar biasa dengan menyempurnakan kesemua tendangan.