Dua lagi tonggak Malaysia Abroad, Rodrigo Holgado dan Gabriel Palmero, lega apabila dibenar meneruskan karier serta menyertai sebarang aktiviti berkaitan bola sepak hingga keputusan muktamad rayuan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) diputuskan.
Kedua-dua pemain yang sebelum ini dilepaskan oleh kelab masing-masing di Colombia dan Sepanyol itu menyambut perkembangan yang dikongsikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) malam tadi tersebut dengan reaksi positif.
Advertisement
"Apabila tidak disangka, matahari muncul semula dan segala-galanya kembali baik.
"Tiada ribut yang berpanjangan," tulis Holgado di InstaStory peribadinya.
Sementara Palermo pula memberi reaksi ringkas di platform serupa dengan menyatakan: "Kami kembali."

Mereka antara tujuh pemain warisan termasuk Facundo Garces, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel yang terpalit dengan isu pemalsuan dokumen hingga mendorong Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa mengenakan penggantungan 12 bulan ke atas mereka sejak 25 September lalu.
Namun, mereka kini diberikan Penangguhan Pelaksanaan (Stay of Execution) hingga keputusan akhir CAS diumumkan.