Masa depan kem berbasikal trek negara dan hala tuju 'The Pocket Rocketman', Datuk Azizulhasni Awang, menuju ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 bakal diatur menerusi satu pertemuan penting bersama Majlis Sukan Negara (MSN).
Ketua Pengarah MSN, Arrifin Ghani, dijadual mengadakan perbincangan mendalam bersama jaguh kebangsaan itu dalam masa terdekat bagi merangka pelan strategik serta bentuk sokongan menyeluruh.
Langkah proaktif ini turut seiring dengan komitmen serta sokongan padu yang diberikan oleh Persatuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM) yang konsisten mempertahankan perancangan jangka panjang demi memastikan olimpian itu terus diberi laluan terbaik memburu misi emas di Amerika Syarikat.
Fokus utama perbincangan dijangka merangkumi aspek penyusunan program latihan berprestasi tinggi, jadual kejohanan kelayakan antarabangsa, serta pengurusan sains sukan yang komprehensif bagi memastikan tahap kecergasan fizikal dan mental atlet kebangsaan itu berada pada landasan paling optimum.
Menurutnya, pertemuan meja bulat ini bakal membuahkan kata sepakat yang positif dan memberi kejelasan mutlak terhadap hala tuju kempen Olimpik negara, selari dengan hasrat besar arena sukan tanah air untuk terus menyaksikan emas pertama di pentas itu.
"Kami akan berjumpa dengan Azizulhasni dan jurulatihnya, mungkin juga kami akan libatkan ISN (Institut Sukan Negara).
"Atlet elit sepertinya ada kumpulan sokongannya.
"Kami akan dengar semua pihak tetapi yang utama adalah atlet dan jurulatih," katanya.