Thailand meninggalkan gelanggang dalam final Piala Dunia di Malaysia — di depan penyokong Malaysia, di depan pegawai, malah ketika kejohanan berlangsung di bumi kita.
Malaysia pula pernah berdepan tindakan keras apabila isu boikot berlaku. Denda, penggantungan dan kesannya bukan kecil.
Jadi hari ini rakyat berhak bertanya: Kenapa bila Thailand buat, ukurannya nampak berbeza? ISTAF memang telah membuka prosiding terhadap lima pemain serta tiga pegawai Thailand, tetapi tujuh pemain lain akhirnya hanya diberi amaran keras.
Di sinilah persoalan bermula. Adakah peraturan ISTAF benar-benar sama untuk semua?
Atau kita sedang melihat satu badan yang semakin jauh daripada landasan asalnya — landasan yang sepatutnya berdiri teguh atas prinsip, disiplin dan keadilan?
Lebih-lebih lagi apabila Sukan Asia semakin dekat. Jangan sampai timbul persepsi bahawa apabila melibatkan kuasa besar sepak takraw, tangan menjadi lebih lembut.
Kalau Malaysia boleh dihukum keras, Thailand juga mesti diukur dengan pembaris yang sama. ISTAF bukan pentas untuk sesiapa sahaja menentukan siapa boleh ditekan dan siapa boleh dilepaskan.
Dan kalau benar wujud kawalan maksimum oleh seseorang dalam ISTAF sehingga suara-suara lain memilih untuk diam kerana takut, maka itu lebih membimbangkan. Badan induk tidak boleh bergerak atas rasa takut. Presiden, ahli majlis, negara anggota dan seluruh komuniti sepak takraw berhak bertanya.
Sampai bila? ISTAF perlu kembali ke landasan. Bukan landasan Thailand. Bukan landasan Malaysia. Landasan keadilan.
Kerana kalau semua orang takut bersuara kepada seorang, akhirnya bukan seorang sahaja yang hilang keberanian—
seluruh ISTAF yang kehilangan maruah.