Jurulatih Iraq, Graham Arnold, merayu kepada FIFA agar menjadualkan semula aksi play-off kelayakan Piala Dunia FIFA susulan ketegangan konflik di rantau Asia Barat yang menjejaskan persiapan pasukannya.
Bekas pengendali Australia itu berharap badan bola sepak dunia berkenaan dapat mencari penyelesaian alternatif bagi perlawanan play-off Iraq yang dijadual berlangsung hujung bulan Mac.
Advertisement
Skuad yang diberi julukan Lions of Mesopotamia dijadual berdepan pemenang perlawanan play-off antara Suriname dan Bolivia dalam aksi penentuan yang akan berlangsung di Monterrey pada 31 Mac.
Perlawanan tersebut bakal menentukan sama ada Iraq layak ke kejohanan dunia buat kali pertama sejak penampilan terakhir mereka pada tahun 1986.
Namun persiapan pasukan kini terjejas apabila ruang udara Iraq dilaporkan tidak akan dibuka semula sehingga 1 April, sehari selepas perlawanan penentuan itu dijadual berlangsung, sekali gus menyukarkan pemain untuk meninggalkan negara berkenaan bagi menghadapi aksi penting tersebut.