Pingat emas sulung Sukan Asia menjadi lebih bermakna buat jaguh karate negara, C Shahmalarani, apabila mampu mengubah luka lama menjadi kisah kejayaan di Aichi-Nagoya hari ini.
Langkahnya ke pentas juara bermula dengan menumbangkan juara dunia dalam separuh akhir di Gimnasium Toyohashi, sebelum melengkapkan episod gemilang dengan menundukkan Tsang Yee Ting dari Hong Kong menerusi keputusan juri selepas terikat tanpa mata dalam aksi final.
"Sebelum ini adalah rasa sakit tapi sebaik memenangi emas, segala kesakitan hilang begitu sahaja.
"Kejayaan itu satu detik yang ditunggu-tunggu.
"Lagi-lagi di atas kertas, saya sudah tewas tiga kali kepada Yee Ting jadi ini masanya saya kalahkannya -- di atas pentas tertinggi Asia demi negara.
"Saya perlu banyak berkorban pada tahun ini terutama masa untuk diluangkan bersama keluarga.
"Saya juga ditimpa kecederaan selain kekangan untuk menyertai beberapa kejohanan dan persiapan kami di luar negara terganggu.
"Tapi saya gembira kami dapat buktikan (kemampuan)," katanya.
Shahmalarani juga bersyukur atas insentif emas yang ditawarkan dan berhasrat untuk memanfaatkannya.
"Terima kasih atas insentif Proton E.MAS. (Bolehlah) saya naikkan taraf hidup.
"Sebagai atlet kami memburu emas dan insentif seperti ini bantu lonjak motivasi kami," katanya lagi.