Jaguh renang negara yang juga pemegang lapan rekod kebangsaan, Khiew Hoe Yean, muncul penerima tertinggi pada Majlis Penyerahan Insentif Kecemerlangan Atlet Kementerian Pendidikan Tinggi (IPT) 2025 dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM14,250.
Hoe Yean meraih ganjaran tersebut hasil pencapaiannya menyumbang dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa di Sukan SEA Thailand, selain meraih satu lagi pingat perak serta mencatat dua rekod kebangsaan dalam Sukan Universiti Dunia.
Advertisement
Secara keseluruhan, insentif berjumlah RM416,500 diagihkan kepada para atlet IPT sebagai satu bentuk pengiktirafan selepas berjaya mengharumkan nama negara di pelbagai temasya sukan utama.
"Saya anggap KPT banyak membantu dari segi pendidikan serta dana demi menjamin masa depan atlet," kata Khiew Hoe Yean, Olimpian Renang Negara
Turut mengucapkan penghargaan atas pemberian insentif tersebut ialah Alang Ariff Aqil, atlet memanah negara yang membantu skuad memanah meraih satu pingat emas, empat perak dan dua gangsa di Sukan SEA Thailand.
"Terima kasih kepada pihak KPT atas insentif yang diberikan kepada pasukan memanah selepas meraih pingat di Sukan SEA Thailand tempoh hari," katanya.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini memberi tumpuan kepada penganjuran Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) yang dijadual berlangsung di Universiti Malaya pada Ogos depan.
Selain itu, Malaysia turut bakal menjadi tuan rumah bagi Sukan Universiti ASEAN pada Disember ini, meskipun terdapat kebimbangan temasya tersebut mungkin berdepan penangguhan susulan ketegangan global semasa.
"Kami berbangga dengan pencapaian atlet negara dan sebagai komitmen KPT untuk memberikan insentif kepada mereka," kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.