Di sebalik kejayaan seseorang atlet di pentas tertinggi, inovasi muncul sebagai nadi penting yang menggerakkan evolusi sukan moden.
Daripada peralatan berteknologi tinggi hingga kepada kaedah latihan terkini, setiap penciptaan memainkan peranan besar dalam meningkatkan prestasi - sekali gus membuka dimensi baharu dalam pembangunan industri sukan.
Advertisement
Menerusi perlindungan harta intelek, setiap inovasi bukan sahaja dilindungi daripada risiko peniruan, malah berpotensi untuk berkembang menjadi produk komersial yang mampu menembusi pasaran global.
Dalam era di mana kelebihan kecil mampu menentukan kemenangan besar, pencipta produk sukan kini melihat inovasi sebagai aset strategik -- bukan sekadar idea, tetapi peluang perniagaan bernilai tinggi.
Namun, tanpa pendaftaran sah seperti paten, reka bentuk perindustrian, cap dagangan dan hak cipta, sesuatu inovasi berdepan risiko besar untuk diciplak, sekali gus menjejaskan potensi komersialnya.
Menurut Ketua Komunikasi Korporat MyIPO, Akhtar Sahari, perlindungan harta intelek bukan sahaja menjaga hak pencipta, malah menjadi pemangkin kepada keyakinan pelabur dan pemain industri.
“Pendaftaran harta intelek memberi nilai tambah kepada sesuatu produk. Ia membuka peluang untuk kerjasama lebih besar, selain membantu pemasaran dan pengembangan ke peringkat lebih tinggi,” jelasnya.
Seiring perkembangan pesat industri sukan, inovasi yang dilindungi dengan baik bukan sahaja mampu membantu atlet mencapai prestasi optimum, tetapi juga berpotensi menjadi pemacu ekonomi baharu negara.
Dalam dunia sukan hari ini, kejayaan bukan hanya diukur melalui pingat — tetapi juga sejauh mana idea mampu diterjemahkan menjadi produk yang memberi impak di dalam dan luar gelanggang.
