"Ini rezeki saya," kata pertahanan, Syahmi Safari, selepas namanya kembali disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya menjelang aksi terakhir Kumpulan F, pusingan kelayakan Piala Asia 2027 bertemu Vietnam di laman lawan minggu depan.
Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) berusia 28 tahun itu akui lega dapat menambat hati pengendali, Peter Cklamovski, terutama selepas pulih daripada kecederaan lutut anterior cruciate ligament (ACL), yang dialaminya sejak September 2024.
Advertisement
Ujarnya, ia bagaikan satu rahmat apabila dapat kembali menabur bakti bersama skuad kebangsaan di pentas antarabangsa.
Tambah Syahmi, dia tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan dan bersedia untuk membantu Malaysia mencatatkan keputusan positif di bumi Vietnam, meskipun impian ke pusingan akhir Piala Asia 2027 sudah terkubur.
Kali terakhir Syahmi menyarung jersi negara ialah ketika kempen Piala Asia 2023 di bawah kendalian bekas ketua jurulatih, Kim Pan-gon.
"Memang rasa bersyukur dan ini rezeki saya dapat kembali bersama skuad kebangsaan selepas lebih dua tahun," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Ini adalah momen dan peluang terbaik untuk saya. Daripada segi fizikal memang agak berbeza kerana di bahagian yang cedera itu akan terasa tidak selesa.
"Selepas pulih daripada kecederaan ini, saya rasa lebih yakin daripada segi permainan.
"Saya lihat pemain yang ada dalam skuad kebangsaan ketika ini sangat berkualiti dan daripada segi persaingan, ia sangat sihat.
"Bagi saya, ia satu yang baik buat pasukan untuk meningkat ke tahap lebih tinggi."