Demam Piala Dunia FIFA sudah mula dirasai.
Dua pasukan Liga Super, Selangor dan Terengganu, mendapat durian runtuh apabila pemain mereka akan menyertai kejohanan utama itu.
Advertisement
Selangor mempunyai dua pemain iaitu Noor Al-Rawabdeh dan Mohammad Abualnadi yang bermain untuk Jordan, termasuk Alvin Fortes sekiranya dipanggil Cape Verde, manakala Sang Penyu pula memiliki wakil dari Curacao, Gervane Kastaneer.
PDRM berpotensi menerima nasib sama jika Jordan memanggil Fadi Awad pada panggilan kebangsaan pada Jun depan.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor, Dr. Johan Kamal Hamidon, menganggap ganjaran yang diterima adalah sebagai balasan setimpal kepada usaha Gergasi Merah menjaga kebajikan tonggak terbabit.
"Dia bukan geran tetapi boleh dianggap ganjaran daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
"Kami sangat bersyukur dan berbesar hati.
"Itu merupakan hasil pelaburan yang baik buat kami terhadap Noor dan Abualnadi yang diberi peluang beraksi sepanjang dua musim ini.
"Noor pernah menghadapi kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) dan kami memberikan sokongan penuh.
"Kami tidak menamatkan kontraknya, malah menjaga kebajikannya.
"Alhamdulillah, dia berada di tahap yang lebih baik berbanding sebelum ini.
"Kami mendoakan dia dan Abualnadi memberikan persembahan terbaik dalam Piala Dunia nanti," katanya kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizam.
Dalam pada itu, Noor Al-Rawabdeh berbangga dapat mewakili negaranya dalam Piala Dunia susulan prestasi cemerlangnya di Selangor.
Harapan tinggi juga buat pemain tengah itu untuk tampil dengan persembahan terbaik sebagai wakil Asia dalam kempen kali ini.
"Secara jujurnya, kami sangat teruja.
"Ia, adalah pentas terbesar dunia.
"Kami akan mewakili negara dengan penuh rasa bangga," kata Noor Al-Rawabdeh.