Pemain tengah Belanda, Tijjani Reijnders, berkata dia kurang gemar dengan peranan yang perlu dimainkan di Manchester City dan tak mampu untuk menolak tawaran 'mega' dari kelab Arab Saudi, Al-Qadsiah.
Reijnders yang berpindah ke Liga Pro Saudi dengan nilai perpindahan £52 juta (RM282 juta) itu mahu bermain sebagai pemain tengah yang lebih bebas untuk membantu serangan serta turun untuk bertahan, namun 'terperangkap' dengan peranan sebagai pemain tengah menyerang.
"Semasa pramusim, saya menyedari yang saya perlu melalui perkara sama di City, dan saya mula terfikir adakah saya mahu menjalani satu lagi musim seperti ini," kata Reijnders.
"Sejujurnya, jawapannya tidak. Saya mahu mencari penyelesaian, dan saya diberitahu kelab yang saya dibenarkan untuk melakukannya.
"Saya fikir semua orang merasakan bahawa karier seorang pemain bola sepak yang bagus sudah berakhir apabila berhijrah seperti ini, dan saya juga merasakan perkara yang sama pada mulanya," ujar Reijnders soal penghijrahannya ke Saudi.
Perbincangan bersama jurulatih Al-Qadsiah, Brendan Rodgers, berjaya meyakinkan Reijnders bahawa ia perkara yang sebaliknya.
"Dia kata saya boleh menikmati tiga atau empat tahun yang menakjubkan dan kembali semula ke Eropah. Ada banyak contoh kebelakangan ini. Itu merupakan sasaran saya juga," jelas pemain berusia 28 tahun itu.
"Saya menganggap Liga Saudi, dengan kehadiran nama-nama besar, lebih bagus daripada Eredivisie (Liga Belanda). Jika mereka mahu menilai liga ini, mereka perlu menontonnya dahulu."
"Anda mungkin boleh berkata tentang moral, tetapi saya rasa semua orang akan melakukan perkara yang sama," tambah Reijnders.
"Sejurus karier saya tamat, saya tak mahu bekerja lagi. Sudah tentu, saya mungkin tak perlu bekerja jika kita bercakap soal kontrak saya di Manchester City juga, namun penghijrahan ini membenarkan saya untuk menjamin masa hadapan generasi keluarga saya yang seterusnya.
"Jika dengan menandatangani kontrak ini, saya dapat menjamin masa depan cucu saya, jadi mengapa saya tak mahu lakukannya?"