'Penamat terindah’.
Itu gambaran tepat bagi menceritakan kisah perjalanan karier duo sepak takraw negara, Zulkifli Abd Razak dan Afifudin Razali, yang tampil buat kali terakhir di Sukan Asia 2026.
Lebih manis, kedua-duanya muncul antara watak penting kejayaan bersejarah Malaysia menamatkan kemarau 36 tahun acara regu berpasukan, di samping mengulangi pencapaian edisi Hangzhou 2022 dengan kilauan pingat perak menerusi acara regu.
Meskipun sudah mengucap selamat tinggal kepada temasya Aichi-Nagoya, Zulkifli atau lebih mesra disapa 'Sobey' menegaskan masih ada misi yang perlu dilunaskan iaitu bantu skuad kendalian Ahmad Jais Baharun mempertahankan dua pingat emas Sukan SEA Malaysia 2027.
"Syukur dengan kejayaan satu emas dan satu perak.
"Rasanya inilah Sukan Asia terakhir untuk saya dan saya amat berpuas hati.
"Sukan SEA Insya-Allah (saya akan sertai)," kata tekong negara itu,
Tambah Afifudin: "Saya pun sama seperti Sobey. Ini penyertaan Sukan Asia terakhir untuk saya.
"Tapi tahun depan Sukan SEA di Malaysia, Insya-Allah saya (akan beraksi)."