Pemain tengah yang berpangkalan di luar negara, Wan Kuzain Wan Kamal, menganggap penantian hampir sedekad untuk menyarung jersi Harimau Malaya sebagai detik paling bermakna selepas membuat pengorbanan besar dengan melepaskan kerakyatan Amerika Syarikat demi negara.
Beraksi bersama Sporting Jax dalam liga divisyen dua Amerika Syarikat, Wan Kuzain, yang bakal memakai jersi nombor tujuh Harimau Malaya, mengakui tidak sabar untuk merealisasikan impian terpendam dengan melakukan penampilan pertama bersama skuad kebangsaan menjelang saingan Piala Hyundai ASEAN hujung minggu ini.
"Sudah pastinya semua orang tahu betapa sukarnya perjalanan saya untuk ke sini (mewakili Harimau Malaya)," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Saya amat gembira untuk akhirnya dapat berada di sini dan bercakap dengan anda semua.
"Harap-harap saya dapat melakukan penampilan pertama beberapa hari lagi dan seperti yang saya katakan sebelum ini, saya amat-amat teruja dan tidak sabar untuk melakukannya."