Kecemerlangan kem e-sukan negara di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 mencetus keterujaan luar biasa termasuk menarik minat ramai penyokong baru —berita baiknya, kumpulan ini tidak perlu berjalan jauh sehingga ke Jepun atau Qatar untuk merasai sendiri pengalaman menyaksikan jaringan sukan alam maya apabila Kejohanan Esports Dunia (WEC) akan berlangsung di negara jiran, Indonesia dari 15 hingga 20 Disember 2026.
Perkara ini diumumkan Persekutuan Esports Antarabangsa (IESF) menerusi laman web rasminya pada Khamis, sekaligus bakal mengangkat Indonesia sebagai tuan rumah WEC buat kali ketiga selepas penganjuran edisi 2016 di Jakarta dan Bali pada 2022.
Bagi edisi 2026, WEC akan menampilkan lima judul permainan iaitu Counter-Strike 2, Dota 2, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), PUBG Mobile, dan eFootball yang menyaksikan Malaysia berpeluang mencuri perhatian selepas gandingan Muhammad Hariz Hazmi Hakimin-Farish Luzman menyumbang pingat perak buat kontinjen negara di Aichi-Nagoya.
Indonesia sekali lagi dipilih menjadi tuan rumah (kali ke-3) Kejohanan Dunia eSukan dari 15-20 Disember 2026.
Lebih 500 atlit dari 110 negara bakal berentap dalam 5 judul permainan ;
1) Counter-Strike 2
2) Dota 2
3) MLBB
4) PUBG Mobile
5) EFOOTBALL@ASTROARENA pic.twitter.com/p3FDGeui28— karlnunis (@_karlnunis) September 24, 2026
IESF menganggarkan lebih 500 atlet akan mewakili negara masing-masing pada penyertaan di WEC26 nanti, membabitkan lebih 110 persekutuan ahli, sekaligus mencerminkan skop e-sukan yang menyeluruh ke seluruh pelosok dunia.
Pada Januari lalu, Jakarta menjadi lokasi penganjuran Kejohanan M7 Dunia yang menghimpunkan jagoan MLBB, manakala dari 2 hingga 7 jun pula telah berlangsungnya PUBG Mobile Global Open.
Walaupun masih menanti pengumuman rasmi mengenai lokasi khusus penganjuran WEC26, komuniti e-sukan dunia pastinya sudah mula merencana penghujung tahun 2026 di Indonesia.