Persatuan Badminton Seluruh Indonesia (PBSI) dalam satu kenyataan sebentar tadi memaklumkan pengguguran dua beregu campuran mereka daripada Kejohanan Dunia BWF di New Delhi dari 17 hingga 23 Ogos ini.
Ia berikutan siasatan berkenaan dakwaan pengaturan perlawanan yang sedang dijalankan Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) ketika ini.
Dua beregu berkenaan ialah gandingan nombor 13 dunia, Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu, dan beregu nombor 24 dunia, Adnan Maulana-Indah Cahya Sari Jamil.
"PP PBSI melakukan penyesuaian komposisi wakil Indonesia dalam sektor beregu campuran bagi Kejohanan Dunia BWF 2026," kata kenyataan itu.
"Sebagai sebahagian daripada penyesuaian berkenaan, pasangan Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu serta Adnan Maulana-Indah Cahya Sari Jamil tidak akan menyertai Kejohanan Dunia BWF 2026.
"Keputusan itu merupakan sebahagian daripada langkah organisasi dalam memastikan seluruh proses pentadbiran dan penyertaan atlet dalam kejohanan antarabangsa berjalan mengikut regulasi serta mekanisme yang ditetapkan.
"Secara berasingan, PP PBSI mengambil maklum bahawa Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kini sedang menjalankan proses penghakiman bebas (judicial proceedings) berkaitan dakwaan pelanggaran integriti yang melibatkan beberapa orang pemain Indonesia.
"PP PBSI menghormati dan menyokong sepenuhnya mekanisme yang diguna pakai oleh BWF sebagai sebahagian daripada usaha menjaga integriti sukan badminton, serta menghormati kebebasan proses yang sedang berlangsung."