Imigresen terlepas peluang keemasan untuk meraih tiga mata penuh apabila sekadar seri tanpa jaringan menentang Penang yang beraksi dengan sembilan pemain.
Aksi menyaksikan Imigresen lebih menguasai permainan sejak awal, namun ketumpulan penyudah menjadi penghalang utama untuk memecah kebuntuan.
Advertisement
Peluang terbaik hadir pada minit ke-26 apabila percubaan Fayad Zulkifli berjaya ditepis penjaga gol Penang. Dia sekali lagi mencuba menerusi rembatan jarak jauh pada minit ke-34, namun tersasar tipis ketika kedua-dua pasukan kekal terikat tanpa jaringan menuju rehat.
Situasi semakin mencabar buat Penang apabila mereka kehilangan seorang pemain sebelum tamat babak pertama, selepas Adib Raop dilayangkan kad merah akibat kekasaran terhadap Eduardo Sosa.
Memasuki separuh masa kedua, Imigresen menyangka mereka sudah berada di hadapan pada minit ke-52 menerusi jaringan Nicholas Swirad, namun gol tersebut dibatalkan selepas semakan VAR.
Walaupun beraksi dengan kekurangan pemain, skuad Harimau Kumbang terus bertahan dengan disiplin tinggi, berjaya mengekang asakan bertali arus daripada Imigresen termasuk percubaan berbahaya Sosa pada minit ke-81.
Malang terus menimpa Penang apabila kapten mereka, Stefano Brundo turut dilayangkan kad merah pada masa kecederaan, menjadikan mereka hanya beraksi dengan sembilan pemain.
Namun, Imigresen gagal memanfaatkan kelebihan tersebut apabila kesuntukan masa untuk mencari gol kemenangan, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berkongsi satu mata dalam perlawanan yang penuh dramatik ini.