Ketua jurulatih Kuala Lumpur City, Risto Vidakovic, mahu masalah sekatan perpindahan pemain yang dikenakan ke atas kelan itu oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) segera diselesaikan pihak pengurusan.
Ketika KL City berada dalam kondisi terbaik untuk menamatkan baki 10 perlawanan Liga Super dengan cemerlang, isu berkenaan jelas membuatkan Vicakovic pening kepala.
Advertisement
Ia ditambah dengan ketiadaan dua tonggak utama, iaitu Hakimi Azim Rosli, yang dipinjamkan ke Terengganu, dan Syamer Kutty Abba, yang dipanggil semula Johor Darul Ta'zim (JDT), di mana pengendali itu berasakan situasi terkini kelab itu mengelirukan barisan kejurulatihan dan pemain menjelang aksi liga bertemu Penang di Cheras malam esok.
"Ia bukan momen yang baik buat kami," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
"Saya fikir banyak persoalan daripada pemain, ramai pemain berpindah, jadi ia situasi yang rumit.
"Tetapi, kami ada membincangkannya setiap hari dan setiap orang hanya fokus kepada perlawanan dan akan memberikan 100 peratus untuk meneruskan momentum esok.
"Di mana kami akan menamatkannya? Saya tidak tahu. Banyak perkara bergantung kepada kelab ini.
"Bagi kami, sudah pasti kami tidak tahu sama ada kami dapat membawa masuk pemain baru untuk mendorong kelab ini atau tidak.
"Dan kami perlu mengetahui mengenai situasi ini dengan jelas jika ada kemungkinan itu berlaku.
"Saya tidak tahu sama ada mereka akan menyelesaikan masalah ini atau tidak, kami tiada maklumat mengenainya."