Skip to main content

Bola Sepak

Hospital Salam, FAS jalin kerjasama perkasa pembangunan bola sepak

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

FAS

Hospital Pakar SALAM Shah Alam hari ini mengumumkan satu kerjasama strategik bersama Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang bertujuan memperkukuh pembangunan bola sepak akar umbi serta menyokong penganjuran liga sosial di bawah kelolaan FAS.

Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama kedua-dua pihak dalam membangunkan ekosistem bola sepak yang inklusif, mampan dan berteraskan kesejahteraan komuniti, selari dengan aspirasi Selangor sebagai peneraju sukan di peringkat nasional.

Advertisement

Melalui kerjasama ini, Hospital Pakar SALAM Shah Alam akan menyokong inisiatif pembangunan akar umbi FAS yang memberi tumpuan kepada aspek kesihatan, kecergasan dan pemulihan di kalangan pemain serta jurulatih.

Inisiatif ini dijangka membantu melahirkan pemain berkualiti dari peringkat awal dengan penekanan terhadap penjagaan kesihatan dan pencegahan kecederaan. Kerjasama strategik ini juga merangkumi sokongan terhadap liga sosial anjuran FAS yang melibatkan penyertaan daripada Ahli Gabungan FAS, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), komuniti setempat, syarikat korporat dan peminat bola sepak. Liga ini merangkumi kategori junior, belia dan dewasa, termasuk pasukan wanita, dan berperanan penting dalam pembangunan bola sepak akar umbi serta pemerkasaan bakat muda di Selangor, sekali gus menjadi medium penyatuan komuniti bola sepak di negeri Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hospital Pakar SALAM Shah Alam, Akim Affandi Ahmad, gembira dengan kerjasama ini yang dianggap sebagai langkah berteraskan semangat dalam pembangunan bola sepak negeri Selangor.  

"Kami berbangga untuk meraikan jalinan kerjasama kami bersama FAS, satu kolaborasi yang berteraskan semangat bersama dalam pembangunan komuniti, pemerkasaan belia serta kecintaan terhadap sukan bola sepak.

"Pihak kami sentiasa percaya bahawa penjagaan kesihatan melangkaui dinding hospital, ia merangkumi usaha memelihara kesejahteraan masyarakat dengan visi untuk menjadi hospital komuniti pilihan rakyat Selangor.

"Hospital kami juga dibentuk sebagai hospital komuniti dan kerjasama ini adalah untuk meraikan komuniti bola sepak sosial untuk menjaga kesihatan di tahap terbaik agar mereka dapat menjalani kehidupan dengan sihat dan lebih baik.

"Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat menyokong inisiatif bola sepak akar umbi yang menggalakkan amalan hidup sihat, memberi inspirasi kepada generasi atlet baharu, serta membina membuka lebih banyak peluang dalam aktiviti fizikal, bimbingan serta penglibatan komuniti," katanya ketika sesi sidang media.  

Setiausaha Agung FAS, Izrin Nabil, pula merasakan kerjasama ini merupakan suatu perkara yang menyentuh tuntutan objektif FAS di bawah tunjang Inisiatif Berimpak (Impactful Initiative) dan Kerjasama yang Utuh (Powerful Partnership).

“FAS amat berbesar hati dengan kesudian Hospital Pakar SALAM Shah Alam menjadi sebahagian daripada pendukung pembangunan bola sepak akar umbi di negeri Selangor. Kerjasama yang secara langsung menyentuh dua objektif utama FAS dengan termeterainya jalinan strategik ini.

Kerjasama antara Hospital Pakar SALAM Shah Alam dan Persatuan Bolasepak Selangor ini dijangka memberi impak positif jangka panjang terhadap pembangunan bola sepak akar umbi di negeri Selangor serta kesejahteraan komuniti secara keseluruhan.

Must Watch Video