Malaysia membuka langkah positif dalam Kejohanan Hoki Piala Remaja Asia selepas menumbangkan Bangladesh 4-2 di Moqi, China, sebentar tadi.
Ketua jurulatih, Nor Saiful Zaini, menyifatkan prestasi anak buahnya lebih baik berbanding aksi sebelumnya, namun masih ada ruang untuk penambahbaikan lebih-lebih daripada segi penyudah di depan gol.
Dalam pada itu, Nor Saiful turut memuji permainan serangan balas Bangladesh yang disifatkannya berbahaya, selain keupayaan mereka dalam situasi pukulan sudut penalti.
Kemenangan itu kini menjadi modal penting buat Malaysia untuk menghadapi cabaran seterusnya, terutama menentang Pakistan yang disifatkan Nor Saiful sebagai antara pasukan kuat dalam kejohanan.
Tegasnya, sasaran utama Malaysia adalah memburu kemenangan dalam perlawanan menentang Pakistan dan China bagi memastikan slot ke separuh akhir.
"Pasukan bermain lebih baik dalam aksi kedua kempen ini.
"Tapi pemain saya masih mensia-siakan banyak peluang di depan gol.
"Tapi yang bagusnya kami dapat tingkatkan prestasi dalam setiap perlawanan.
"Bangladesh bagus daripada segi serangan balas dan pukulan sudut penalti tapi kami dapat menyekatnya.
"Esok kami akan bertemu Pakistan dan kami perlu kaji permainan mereka. Mereka sebuah pasukan yang cukup kuat, kalau anak buah saya mampu tutup kekuatan mereka, Insya-Allah kami mampu bermain dengan lebih baik.
"Kami perlu menang di antara pertemuan dengan Pakistan atau China untuk mara ke separuh akhir," katanya.
Dalam masa sama, skuad remaja wanita negara pula menghadapi mimpi ngeri selepas dibelasah India 1-11 dalam aksi kedua kumpulan elit Piala Remaja Asia Wanita 2026.