Ujian terakhir peringkat kumpulan sudah pun dilepasi, namun skuad hoki B-18 lelaki negara sedar cabaran sebenar hanya bermula selepas ini apabila Piala Asia di Jepun memasuki fasa aksi penentuan.
Meskipun mencatat kemenangan 3-0 ke atas China, ketua jurulatih remaja kebangsaan, Mohd Harfizi Baharom, mengakui pasukannya berdepan kesukaran dalam dua suku awal perlawanan sebelum perubahan taktikal dilihat mengubah rentak permainan dan membuka lebih banyak peluang jaringan.
Kemenangan itu juga sedikit sebanyak mampu memberi suntikan keyakinan besar buat pasukan menjelang separuh akhir dengan sasaran untuk berada di podium menjadi sandaran utama.
"Kami melakukan perubahan dalam separuh masa apabila lebih berani menghadapi China.
"Kami dapat menterjemahkan peluang kepada jaringan dan menambah tekanan ke atas China, seterusnya membawa kepada positif.
"Kami tidak boleh anggap pasukan lebih hebat. Anak buah saya perlu memiliki keyakinan diri pada setiap minit permainan dan akan berjuang habis-habisan dalam separuh akhir kelak.
Sementara itu, kapten pasukan, Dheeressh Gunaseelan, terus memperagakan karakter seorang pemimpin terpuji apabila menyumbang gol pembukaan dalam dua aksi wajib menang, menentang Pakistan dan China.
Jaringan awal itu disifatkan sebagai pemangkin kepada keyakinan pasukan untuk terus memburu lebih banyak gol.
Dan menjelang aksi seterusnya, Dheeressh menegaskan skuad negara sudah sedia daripada segi mental dan fizikal, dengan setiap pemain bertekad menampilkan dengan motivasi tertinggi dalam memperagakan aksi terbaik.
"Saya memanfaatkan peluang pukulan sudut penalti dan ia menjadi motivasi tambahan buat saya mendapatkan lebih jaringan
"Saya juga berkeyakinan kami mampu mara ke final," katanya pula.