The Speedy Tigers memasuki fasa akhir persiapan menjelang Kejohanan Hoki Piala Dunia 2026 dengan dijadual berlepas lebih awal ke Belgium bagi mengharungi beberapa aksi persahabatan.
Jurulatih negara, Brendon Carolan, mahu memastikan anak buahnya berada di tahap terbaik untuk memberi cabaran kepada pasukan elit dunia lain dalam kejohanan yang berlangsung dari 15 hingga 30 Ogos itu.
Skuad kebangsaan bakal merintis ranjau berliku dalam kejohanan itu apabila diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan, Jerman, ruan rumah yang juga naib juara edisi lalu, Belgium, serta Perancis.
"Kami perlu memperbaiki kelemahan yang berlaku dalam Liga Negara-Negara.
"Kami akan berdepan pasukan nombor satu, enam dan sembilan dunia (dalam Piala Dunia), malah untuk menjuarai Sukan Asia kami perlu mengatasi India yang menduduki ranking ke-10 dunia, maka jelas sekali kami perlu berada di tahap yang lebih baik.
"Kami bertolak seminggu lebih awal bagi menyesuaikan diri dengan perubahan zon masa dan persekitaran," katanya.
Selepas 41 hari menjalani kem latihan intensif di Afrika Selatan, skuad negara kini kembali ke Bukit Jalil bagi melengkapkan sentuhan akhir sebelum berlepas ke Eropah.
Sepanjang di Afrika Selatan, The Speedy Tigers menjalani latihan intensif dan aksi persahabatan bagi memperkukuh kecergasan, taktikal serta persefahaman pasukan.
"Kem kami kekal dengan 34 pemain sejak beberapa bulan lalu dan kami akan mengadakan satu lagi ujian pada malam ini sambil beberapa pemain masih memerlukan tempoh pemulihan," katanya.