Penyerang Skuad Senior Lelaki Negara, Faizal Saari enggan mengibarkan bendera putih terlalu awal sebelum turun ke ‘medan perang’ -- Piala Dunia 2026 di Belgium bermula 15 hingga 30 Ogos ini.
Ia bakal menjadi penampilan keempat dan juga terakhir buat Faizal dalam kariernya di pentas Piala Dunia selepas bermain pada edisi 2014 di The Hague, Belanda, 2018 di Bhubaneswar, India dan 2023 di Bhubaneswar-Rourkela, India.
Namun, perjuangan kali ini boleh diibaratkan paling sukar buat Faizal kerana Speedy Tigers diundi dalam Kumpulan B bersama dua juara dunia, Belgium dan Jerman serta juara Piala Negara-Negara 2025-26, Perancis.
“Syukur Alhamdulillah dapat ke Piala Dunia untuk kali keempat dan saya rasa Piala Dunia yang terakhir dalam karier saya.
“Berdebar pun ada sebab kumpulan kita sangat sukar dengan pasukan No.1 dunia, Belgium, Jerman dan Perancis. Susah nak kalahkan mereka tetapi tak mustahil,” kata Faizal yang memiliki 322 kaps antarabangsa.
Speedy Tigers kendalian Brendon Carolan berlepas ke Belgium bagi menjalani kem latihan di Kelab Hoki Gantoise sebelum bermain satu perlawanan persahabatan dengan Sepanyol pada 13 Ogos.
Ia adalah persediaan terakhir sebelum mereka membuka kempen Piala Dunia menentang Jerman di Arena Hoki Belfius, Wavre pada 15 Ogos diikuti Perancis (17 Ogos) dan Belgium (19 Ogos).
Selain Faizal, dua lagi tonggak berpengalaman iaitu kapten, Muhammad Marhan Mohd Jalil dan pemain pertahanan, Faiz Helmi Jali juga akan membuat penampilan keempat mereka di Piala Dunia.