Skip to main content

Ragbi

HIPERSIS 7s jadi kejohanan pemanas badan sebelum MSSM 2026

Ragbi

Penganjuran sulung kejuaraan ragbi HIPERSIS 7s yang menyasarkan pasukan peringkat usia bawah 12 tahun mencipta sensasi tersendiri di Kemaman, Terengganu setelah berjaya menarik penyertaan sebanyak 32 pasukan ragbi termasuk penyertaan dari negeri Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Kelangan dan Pulau Pinang.

Mempertaruhkan format pertandingan 7 sepasukan(7s) bertempat di Universiy College Terengganu Advanced Technical Institute (UC TATI), Kemaman ini juga dilihat menjadi serampang dua mata buat pasukan-pasukan yang kini dalam persiapan ke pentas Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) yang dijadualkan pada September nanti.

Advertisement

Menurut penaung kejohanan HIPERSIS 7s, Mohd Nasir Mat Omar berkata oleh kerana ketandusan penganjuran ragbi bagi peringkat usia di bawah 12 tahun ini menjadi tanggung jawab sosial untuk penganjur menjadi tuan rumah di Kemaman ini.

“Selama ini oleh kerana ketiadaan penganjuran ragbi yang menyasarkan pasukan-pasukan sekolah rendah atau lebih tepat lagi bagi peringkat usia bawah 12 tahun memaksa pasukan dari negeri-negeri di pantai timur ini terpaksa mencari minit-minit permainan mahupun pengalaman di lain-lain negeri.

“Jadi kami yang juga dari kalangan guru-guru sekolah sekitar Kemaman mengambil keputusan untuk menjadi tuan rumah sebagai usaha memperkasakan pasukan ragbi sekolah kami.

“Melihat pada jumlah penyertaan dan kehadiran beberapa pasukan luar dari Terengganu, kami sangat teruja dan tidak menyangka sambutan sebanyak ini. Secara positif ianya memberi satu penanda aras yang baik untuk diteruskan pada edisi seterusnya,” ujar beliau yang juga merupakan Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail, Kemaman.

Manakala buat pengurus pasukan Akademi Ragbi Mersing (ARMERS) Muhammad Aliff Haikal Zaidi berpendapat peluang untuk berentap di Kemaman ini tidak seharusnya dilepaskan memandangkan pasukan yang telah ditubuhkan sejak 2023 masih memerlukan lebih banyak minit-minit permainan dalam kejohanan yang kompetitif.

“Rata-rata dalam mana-mana kejohanan dalam negara jarang mempertaruhkan kategori peringkat usia bawah 12 tahun walaupun sebenarnya terdapat banyak pasukan-pasukan ragbi peringkat usia ini yang sebenarnya lahir dari sekolah-sekolah rendah seluruh negara. Oleh sebab itu kami sanggup menempuh perjalanan jauh untuk berentap di sini,” jelasnya lagi.

Edisi pertama HIPERSIS 7s yang dijadualkan berlangsung selama dua hari bermula pada 1 Mei 2026 ini juga turut mempertaruhkan bagi kategori wanita yang melibatkan 10 pasukan sekaligus menghimpunkan keseluruhan sebanyak 32 pasukan untuk memburu kejuaraan di Kemaman, Terengganu.
 

Must Watch Video