Pemerhati bola sepak negara, Asmawi Bakiri, menyifatkan barisan pemain Harimau Malaya yang disenaraikan pemangku ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, bagi aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 bulan ini memiliki keseimbangan di setiap posisi.
Ujarnya, ketiadaan sekumpulan besar tonggak utama daripada skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor memberikan peluang buat pemain lain untuk membuktikan kemampuan masing-masing.
Tambah Asmawi, yang juga bekas pertahanan skuad kebangsaan, majoriti pemain dipanggil kali ini mempunyai kualiti individu yang mampu memberikan impak positif kepada pasukan.
Meskipun berdepan perubahan pemain pada saat akhir, termasuk ketiadaan pemain sayap, Safawi Rasid, yang terpaksa pulang ke ibu negara atas urusan keluarga, dia percaya Cheng Hoe memiliki pelan B bagi menyusun kesebelasan terbaik demi meraih keputusan positif dalam dua perlawanan berkenaan.
Harimau Malaya dijadualkan berdepan China pada malam esok sebelum menguji pasukan di ranking ke-144 dunia, Yaman, tiga hari kemudian dengan kedua-dua perlawanan itu akan dilangsungkan di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong.
"Bagi saya ia adil buat pemain yang dipanggil, ia terbuka dan saya lihat mereka masih ada percaturan yang baik," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Gandingan antara pemain muda dan lama akan memiliki kekuatan yang seimbang dan memiliki kekuatan tersendiri daripada segi individu.
"Saya berharap mereka akan dapat mempamerkan prestasi terbaik."